Friday, May 27, 2016

Salah Mencintainya (Bab 1)


Aku tergamam sebaik menyambut panggilan sebentar tadi. Berita yang dikhabarkan oleh lelaki itu betul-betul mencabar imanku. Perlahan-lahan gagang telefon aku letak.
“Sapa call long? Mak dan abah ye?” pertanyaan adik bongsuku menyentap dadaku.
“Mak ada cakap tak, dia nak belikan acu coklat? Sebelum pergi tadi acu dah pesan.” Acu menarik-narik tanganku.
Bagaimana mahu ku terangkan pada dia bahawa abah dan mak kami telah pergi selamanya. Panggilan dari pihak polis sebentar tadi membuatkan lututku lemah. Aku tidak mampu menghambur tangisku. Rasa semua kesedihan tersekat di dadaku.
“Along….” Rengek acu bila aku tidak mempedulikan pertanyaannya. Aku pantas mendakap tubuh kecilnya. Acu tidak mengerti apa-apa hanya menyebam kepalanya di dadaku.
“Kenapa long?” Angah menghampiri. Aku ketap bibir menahan kepiluan.
“Mak dan abah…mereka..”
Aku terhenti seketika. Mengumpul kekuatan untuk mengabarkan berita itu. Angah gengam erat bahuku, matanya merenung mataku lama. Aku sudah tidak mampu menahan air jernih itu. Perlahan ia mengalir tanpa dapat di sekat. Mulut angah sedikit terbuka, seakan dapat membaca apa yang ada di fikiranku.
“Atuk, pak su dan achik macam mana?” Tanya angah dengan suara yang bergetar. Acu memandang kami dengan pandangan keliru.
“Atuk dan pak su pun meninggal di tempat kejadian ngah. Achik je yang selamat. Mereka dah bawa ke hospital.” Beritahuku sambil menangis.
Angah serta merta memelukku dan acu. Alang yang baru keluar dari biliknya nampak tergamam.
“Apa semua ni long?” Tanya Alang sambil menangis merapati kami.
Angah terus memeluk alang. Aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Semua anggotaku rasa lemah. Semangatku rasa melayang.
“Sabar dik…. Mak, abah, atuk dan pak su dah meninggal, dalam kemalangan.” Beritahu Angah sambil mengusap belakang alang.
Alang menggogoi dalam pelukan angah. Acu mula menangis kuat. Aku hanya mampu memeluknya. Tidak mampu bersuara walau sepatah untuk memujuk lara di hati adik-adikku yang lain sedangkan hatiku sendiri tidak mampu ku pujuk.
“Achik macam mana?” sedu alang. Angah dan alang memelukku dan acu.
“Pihak polis cakap, achik dan di bawa ke hospital.” Balasku dalam tangis. Aku kesat air mata adikku sorang demi sorang. Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba mengumpul sisa semangat dan ketabahan yang ada. Aku tidak harus lemah di depan adik-adikku. Mereka sudah kehilangan tempat bergantung, aku sebagai kakak yang tua harus kuat untuk mereka.
“Jangan nangis ye dik… lepas ni kita bersiap ke hospital. Kita minta tolong Haji Berahim hantar kita ke hospital.” Pujukku. Angah juga sudah mula memujuk alang dan acu. Sebagai anak lelaki yang tua, dia turut cuba berlagak tabah depanku dan adik-adik kami yang lain.

*************************************************************************

“Along…jaga adik-adik ye. Jaga mereka baik-baik.” Aku tidak sedap hati bila abah berpesan begitu.
Sesekali aku menjeling ke arah achik yang tergelak kesukaan bila emak setuju membawanya. Geram aku melihat teletahnya, manja mengalahkan anak bongsu. Dari tadi dia merengek mahu ikut sama membawa atuk ke klinik. Sejak seminggu yang lalu atuk sudah tidak sedap badan. Puas mak, abah dan pak su pujuk untuk ke klinik, baru hari ini orang tua itu setuju. Itu pun selepas tidak larat untuk bangun lagi.
“Pak su drive tu hati-hatiku.” Pesanku sambil mengucup tangan adik bongsu abahku itu.
Pak su hanya tersenyum sambil mengusap kepalaku. Telatah ahli keluargaku hari ini amat ganjil di pandanganku. Abah sudah berpesan yang bukan-bukan, emak pulak memandang kami adik beradik dengan mata yang bergenang. Atuk memang tidak larat untuk memberi reaksi. Pak su pulak, dia lebih senyap dari biasa. Tidak seperti hari-hari sebelum ini. Lidahku jadi kelu untuk bertanya.
“Along... ni achik dari tadi merengek nak ikut. Mak bawak, tapi nanti along jaga.” Pesan pulak emakku. Dia tiba-tiba memelukku.
Tidak semena-mena air mataku mengalir. Tambah deras mengalir melihat emak dan abah memeluk adik-adikku lain sorang demi sorang. Lagaknya seolah sudah lama tidak bertemu. Aku berpaling ke arah lain mengelap air mata.
“Mak… balik nanti belikan acu coklat ye.” Pesan acu. Emak mengusap pipi acu lembut sambil mengangguk perlahan.
“Angah dan alang tak pesan apa-apa?” Tanya abah.
“Hmm..tak apa la bah.” Sahut angah. Dari tadi aku dan angah berbalas pandang. Mulut kami seakan terkunci untuk berkata.
“Angah jaga along dan adik-adik. Jangan biar orang sakiti mereka.” Aku dan angah sekali lagi berbalas pandang mendengar pesan abah sambil menepuk bahu angah.


Keanehan itu terjawab bila mendapat berita pemergian mereka dalam kemalangan jalan raya. Aku sama-sama sekali tidak menyangka mereka pergi terlalu mengejut. Ajal dan maut tiada siapa dapat menjangka.

Semua itu sudah tersurat sejak azali lagi. Apa yang aku kesalkan, aku tidak sempat memohon kemaafan pada mereka. Aku takut memikirkan kehidupanku dan adik-adik selepas ini. Dapat ke kami hidup tanpa orang tua kami?


Bab seterusnya tekan (SINI) 

No comments:

Post a Comment